fbpx
Contact for queries :

Kejayaan Aku sekarang adalah berkat doa arwah Mak…….

Hari ini buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki di Kolej UNITI Port Dickson.  Langsung tidak pernah terbayang yang aku akan melanjutkan pelajaran di sini. Namanya pun tidak pernah aku dengar sebelum ini. Tetapi, yang aku pasti di sinilah tempat aku menimba ilmu seterusnya. Masa berlalu dengan pantas sekali. Tanpa sedar, aku telah melepasi zaman persekolahanku dan kini bermula episod baru sebagai pelajar diploma.

“Angah, belajar betul-betul. Jangan main-main.” Nasihat mak yang tidak pernah berubah dari aku berada di sekolah rendah hinggalah sekarang. Aku melihat wajah redup mak. Sebak rasanya untuk berpisah. Mataku sudah bergenang tapi aku tahan supaya tidak terlihat di depan mak. Malu bila mak nampak.

Seminggu sebelum…

“Mak, angah tak nak pergilah. Biarlah tunggu keputusan UPU tu nanti”, rayuku kepada mak.

Aku berharap mak faham. Berat hatiku untuk menerima tawaran belajar dalam program Diploma Pengurusan Indstri Halal di  Kolej UNITI Port Dickson . Aku telah membuat permohonan untuk sambung belajar di IPTA dan aku yakin ada tempat untukku di sana.

“Takpela ngah. Terima je tawaran tu. UPU tu lambat lagi. Tu pun tak tau lagi dapat ke tak”, pujuk mak lembut.

Aku menatap wajah mak yang penuh dengan harapan agar aku menerima tawaran tersebut. Aku mengerti perasaan ibu yang ingin sesuatu yang terbaik untuk anaknya. Aku melihat wajah tenang abah. Dalam ketenangan wajahnya, aku tahu hatinya sedang susah memikirkan tentang perbelanjaan untuk aku mendaftar nanti.

Dua bulan lepas, mak dimasukkan ke hospital. Muntah yang keluar dari mulut mak sudah bertukar warna dan baunya seakan-akan bau darah. Doktor mendapati paru-paru mak telah dijangkiti kuman. Jantungnya sudah berhenti berdegup selama lima saat. Hanya Allah S.W.T yang tahu bertapa takutnya aku jika kehilangan mak pada waktu itu. Hanya kepada Allah S.W.T aku panjatkan doa buat mak agar mak kuat mengharunginya.

Allahu Akhbar! Alhamdulillah mak sedar selepas koma selama tiga hari. Aku bersyukur sangat kepada-Nya kerana masih lagi meminjamkan mak untukku. Dua puluh lima hari aku menemani mak di hospital. Bil hospital agak tinggi untuk dijelaskan. Kerana itulah aku faham keadaan abah sekarang dan aku tidak mahu menambah beban kewangan yang terpaksa dipikul abah waktu ini.

Aku melihat abah ligat menekan punat telefonnya. Siapalah yang abah call tu! Rupanya abah meminta pertolongan daripada bapa saudaraku. Mujurlah bapa saudaraku itu mahu meminjamkan wang untuk aku mendaftar di Kolej UNITI Port Dickson.  Aku menangis melihat kesungguhan abah. Kata abah, duit boleh dicari. Begitulah pengorbanan seorang ayah.

******

Setelah selesai mendaftar sebagai pelajar baru, kami ke kolej kediaman yang berhampiran untuk memunggah barang-barang keperluanku. Aku melihat semua pelajar memiliki telefon bimbit sendiri. Tapi aku tiada telefon bimbit. Telefon itu penting sangat untuk tahu sebarang maklumat yang ingin disampaikan kepada pelajar baru seperti aku. Serba salah aku jadinya untuk memberitahu abah yang aku perlukan telefon waktu ini.

Namun, terpaksa juga aku menyatakannya. Aku tahu sudah banyak aku susahkan abah. Mujur kakakku mahu korbankan telefonnya untuk kegunaan aku di sini. Aku terharu. Walaupun telefon itu tidak secanggih telefon pelajar yang lain, tapi aku bersyukur sangat at least aku ada telefon.

Dua minggu selepas bergelar pelajar Kolej UNITI Port Dickson, keputusan UPU diumumkan. Aku telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di UNISZA dalam bidang kejururawatan. Tawaran tersebut terpaksa aku tolak bukan kerana aku tidak minat kursus yang ditawarkan, tetapi memikirkan kos perbelanjaan yang diperlukan. Banyak sudah abah belanjakan untuk aku di Kolej UNITI Port Dickson ini.

Kawan-kawan aku yang lain juga ramai yang menyambung pelajaran di IPTA. Tidak kurang juga ada yang menyambung pelajaran di luar negara. Kadang-kadang terasa hati juga apabila ada yang mentertawakan aku kerana tidak pernah mendengar mengenai kursus yang aku ambil di Kolej UNITI Port Dickson. Masih terngiyang lagi perbualan aku dengan seorang rakan sekolah dahulu.

“Sharifah, kau amik diploma apa?” soalnya spontan di hujung talian.

“Diploma Pengurusan Industri Halal,” balasku ringkas.

“Haa? Tak pernah dengar pun kos yang kau amik nie”, jawapnya. Tersentap tapi aku teruskan juga perbualan kami seperti biasa.

Namun, aku redha. Mungkin ini perancangan Allah S.W.T untuk aku. Suasana belajar di sini sangat menyeronokkan aku. Jauh dari hiruk pikuk bandar yang sibuk.  Banyak perkara aku belajar mengenai pengurusan industri halal. Selain itu, aku juga melibatkan diri dengan persatuan dan Kelab Halal Community Kolej UNITI (HALCOMKU).

Para pensyarah tidak pernah jemu memberikan bimbingan dan dorongan. Semester demi semester aku jalani kehidupan kampus dengan hati yang gembira. Sokongan sahabat-sahabat di sisi sangat bermakna pada aku.

Keluarga tidak pernah aku abaikan. Kerap juga aku balik ke rumah pada hujung minggu. Bukan apa, aku cuma rindu untuk menatap wajah mak dan melihat sendiri keadaan mak daripada berbual di corong telefon sahaja. Ketika berada di semester empat, aku menerima panggilan telefon dari abah. Mak dimasukkan ke hospital. Keadaan buah pinggang mak sudah teruk dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Mak perlu melakukan rawatan dialisis darah sebanyak tiga kali seminggu. Rawatan itu perlu dilakukan seumur hidup. Tidak sanggup aku melihat keadaan mak. Setiap kali selepas rawatan, mak akan muntah dan loya. Terbaring lemah di atas katil. Walaupun begitu, setiap kali aku ingin pulang ke Kolej UNITI Port Dickson mak tidak pernah tidak turut ikut menghantar aku ke kolej. Ini membuatkan terus tekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengembirakan mak dan abah.

*****

kolej uniti port dickson

4 Oktober 2016.

Alhamdulillah, kini telah tiba hari konvokesyen aku. Secara rasmi aku sudah berjaya menamatkan pembelajaranku di Kolej UNITI Port Dickson. Segala penat lelahku selama ini membuahkan hasil. Aku tidak pernah menduga bakal dianugerahi “Anugerah Presiden Kolej UNITI” –anugerah tertinggi dalam sesi konvokesyen tersebut. Terasa kerdil sangat diri ini. Tidak layak rasanya anugerah ini aku terima.

Segala Puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekalian Alam. Benarlah Allah S.W.T berfirman dalam Surah Ar-Rahman ayat 13, yang bermaksud:

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan Jin)?”

Aku bersyukur kerana masih punya ibu dan ayah yang meraikan kejayaan aku. Yang tidak pernah jemu mendoakan aku. Yang sentiasa ada di sisi aku. Yang sentiasa memberi dorongan kepada aku dalam menjalani kehidupan ini. Allah S.W.T telah memakbulkan doaku untuk menghadiahkan kejayaan ini buat mereka. Aku dapat melihat sinar kegembiraan di wajah mak dan abah ketika bersama-sama di atas pentas. Sekaligus, itulah hadiah hari lahir yang istimewa buat mak kerana esoknya hari lahir mak yang ke-47.  Alhamdulillah, Terima Kasih Allah..!

Tidak lama selepas itu, sebulan kemudian pada hari Sabtu, 3 Disember 2016, mak yang aku sayangi telah pergi selama-lamanya. Meninggalkan aku dan keluarga yang masih memerlukannya. Gelap seketika duniaku. Pembuluh darah di otak mak telah pecah disebabkan tekanan darah tinggi. Ia mengalir di seluruh permukaan otak menyebabkan otak mak telah mati.

Allah, berat sungguh ujian ini untuk aku tanggung. Empat hari sebelum mak menghembuskan nafas terakhir, aku bisikkan di telinganya.

“Mak, angah sayang sangat dekat mak. Kalau ini sudah tiba masanya mak pergi, angah ikhlas. Pergilah mak. Ampunkan segala dosa-dosa angah, halalkan air susu yang mak berikan, halalkan makan minum angah selama ini. Angah sayang mak,”

Aku melihat air mata mak mengalir laju, membasahi pipinya. Walaupun dalam keadaan koma, aku pasti mak mendengar kata-kata aku. Itulah respon terakhir mak yang masih terbayang di kotak fikiranku hingga sekarang.

Kini, sudah hampir satu tahun mak pergi. Alhamdulillah, aku lebih tenang sekarang. Menjalani sisa-sisa hidup yang Allah S.W.T pinjamkan. Aku bersyukur masih lagi diberi peluang untuk menimba ilmu. Aku kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam.

Kalau bukan kerana mak yang memujuk aku menerima tawaran masuk dari Kolej UNITI Port Dickson dalam bidang Diploma Pengurusan Industri Halal mungkin aku tidak akan berada di Kolej UNITI Port Dickson. Kalau bukan kerana doa mak, mungkin aku tidak akan berjaya dengan cemerlang sekarang. Semuanya adalah dalam perancangan-Nya.

Artikel ini ditulis oleh Sharifah Ahmad Fauzi,
penulis merupakan pemerima Anugerah Presiden Kolej UNITI (2016).

16/06/2020

0 responses on "Kejayaan Aku sekarang adalah berkat doa arwah Mak......."

Leave a Message

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay
X